fbpx

Pembantu tadbir didakwa buat tuntutan palsu RM16,800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norazah (kiri) di bawa ke Mahkamah Seksyen Johor Bahru hari ini atas 21 tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,800.- Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Seorang Pembantu Tadbir Pengkeranian/Operasi di Pejabat Kadi Daerah Kluang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu RM16,800 pada Januari 2015 hingga September 2016.

Tertuduh, Norazah Abdul Aziz, 49, bagaimana pun mengaku tidak bersalah sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Norazah dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Saguhati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid Dan Surau berjumlah RM800 setiap bulan.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh selama 21 bulan pada Januari hingga Disember 2015 serta Januari hingga September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.

Bagi pertuduhan tersebut, wanita itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala tertuduh diwakili Siti Norbaya Aman.

Terdahulu, Nur Mahirah memohon tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Bagaimanapun, Siti Norbaya memohon wang jaminan ditawarkan kepada anak guamnya dikurangkan kepada RM10,000 berikutan tertuduh mengalami masalah kewangan.

“Tertuduh perlu menyara anak yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah kolej selain ibunya yang uzur dan perlu menjalani dialisis pada setiap minggu dengan belanja RM600 sebulan.

“Tertuduh sudah bekerja selama 21 tahun di Pejabat Kadi Daerah Kluang namun dia digantung kerja mulai hari ini dan gajinya hanya dibayar separuh sahaja,” katanya.

Hakim kemudian memerintahkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin, pasport diserah pada mahkamah selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Mac depan bagi penyerahan dokumen.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI