PETALING JAYA – Harapan skuad bawah 23 (B-23) negara untuk membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan langkah kanan tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Lebanon pada aksi Kumpulan F sebentar tadi.
Pada perlawanan di Stadium Thammasat, Bangkok itu, skuad kendalian Nafuzi Zain membariskan kesebelasan terbaik dengan Haqimi Azim Rosli, Alif Izwan dan Fergus Tierney mengetuai jentera serangan.
Namun, kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang terhidangan apabila terikat tanpa sebarang jaringan sehingga babak pertama berakhir.
Bersambung pada separuh masa kedua, skuad muda Harimau Malaya menggandakan asakan dengan peluang terbaik hadir menerusi Tierney pada minit ke-54 tetapi rembatannya tersasar.
Aliff Izwan turut memiliki peluang keemasan berselang beberapa minit kemudian tetapi dinafikan oleh penjaga gol Lebanon, Anthony Maasry.
Kelekaan benteng pertahanan menyaksikan skuad negara dikejutkan dengan jaringan Ali El Fadl pada minit ke-84,d dengan keputusan 0-1 kekal sehingga wisel penamat.
Selepas aksi dengan Lebanon, skuad negara akan bertemu Mongolia, Sabtu ini sebelum menentang pasukan tuan rumah, Thailand pada 9 September.
Hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi, tahun depan.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia B-23 ialah di Qatar pada 2024 dan pencapaian terbaik negara di kejohanan itu ialah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China. – KOSMO! ONLINE