HONG KONG – Seorang lelaki ditangkap selepas meninggalkan kekasihnya bersama bil mencecah HK$84,453.60 (RM46,000) di Man Wah, sebuah restoran Cina di hotel Mandarin Oriental, Hong Kong, lapor portal berita MSNews hari ini.
Selepas selesai makan, lelaki yang mendakwa dirinya seorang peguam itu meminta izin untuk ke tandas, namun tidak kembali.
Wanita berusia 31 tahun yang menjadi kekasihnya cuba mencari dan menghubunginya, tetapi gagal pada Khamis lalu.
Foto resit yang tular di media sosial menunjukkan pasangan itu memesan dua set menu premium berharga HK$2,388 (RM1,300) seorang, termasuk hidangan mewah seperti abalon, daging wagyu dan sarang burung.
Namun yang menyebabkan bil melambung tinggi adalah sebotol minuman keras yang disenaraikan berharga HK$71,800 (RM39,000).
Tidak mampu membayar jumlah besar itu seorang diri, wanita berkenaan terpaksa menghubungi rakannya untuk menyelesaikan bil tersebut.
Dia kemudian membuat laporan polis sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan). – AGENSI