BESUT – Kerajaan Negeri Terengganu menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Khas di Pulau Perhentian di sini dan Pulau Lang Tengah, Setiu susulan beberapa insiden melibatkan keselamatan pelancong yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, pasukan SAR khas tersebut akan beroperasi pada musim puncak kehadiran pelancong pada bulan Mac hingga Oktober setiap tahun.
“Pasukan SAR Khas tersebut diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meliputi kawasan pulau peranginwn sepanjang musim puncak kehadiran pelancong.
“Ia juga melibatkan kerjasama Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pejabat Daerah Besut, ” katanya di sini hari ini.
Razali berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Jabatan Kesihatan Terengganu dan wakil pengusaha pelancongan serta komuniti setempat turut menyertai Pasukan SAR terbabit.
Beliau berkata, inisiatif penubuhan pasukan tersebut bagi memperketatkan aspek keselamatan pelancong di kawasan pulau, selain kesiapsiagaan menghadapi sebarang kemungkinan. – KOSMO! ONLINE