SEREMBAN – Tindakan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun meminta bantuan seorang lelaki yang baru dikenali untuk menghantarnya pulang ke rumah memakan diri apabila menjadi mangsa rogol beramai-ramai.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisoner Mohamat Hatta Che Din berkata, mangsa telah membuat laporan polis lebih kurang 3.21 pagi, 30 Ogos lalu di Balai Polis Senawang mengatakan dirinya telah dirogol oleh sekumpulan lelaki.
“Siasatan awal mendapati, lebih kurang pukul 8 malam, 29 Ogos 2025 mangsa telah pergi ke sebuah pusat karaoke keluarga di kawasan Senawang.
“Mangsa telah meminta bantuan daripada seorang lelaki yang baru dikenalinya melalui aplikasi ‘Leo’ untuk menghantarnya pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Mohamad Hatta, namun dalam perjalanan pulang mangsa telah dibawa ke sebuah rumah yang tidak diketahui dan telah dirogol secara berkumpulan.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk peneriksaan lanjut,” katanya yang memberitahu kejadian itu melibatkan pelajar sekolah.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah berjaya menahan empat suspek lelaki berusia 16 hingga 19 tahun di sebuah kediaman salah seorang suspek di Seremban. – KOSMO! ONLINE