ALOR SETAR – Bermula dengan janji manis, layanan penuh kasih sayang dan harapan membina keluarga bahagia, namun berakhir dengan linangan air mata, penderaan serta penyesalan.
Itu realiti pahit yang terpaksa dilalui segelintir wanita tempatan yang mengakui kehidupan mereka berubah seratus peratus dan menjadi tidak terurus selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki warga asing.
Berdasarkan pengakuan mereka, ada yang menjadi mangsa keganasan termasuk dipukul dan kepala dihentak ke dinding, malah ada yang terpaksa memikul beban kewangan keluarga secara bersendirian.
Seorang ibu tunggal dikenali sebagai Liya, 30, berkata, hasratnya untuk memberi kasih sayang bapa kepada anak-anaknya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila rumah tangga yang dibina bersama lelaki warga Pakistan berakhir dengan penderaan fizikal dan emosi.
Lebih parah lagi, wanita itu kini dalam proses perceraian selepas hampir dua tahun hidup menderita akibat sikap panas baran lelaki berusia 45 tahun tersebut.
Katanya, dia berkahwin dengan pekerja kedai karpet itu pada 2023 di sebuah masjid di negeri utara Semenanjung selepas tiga bulan berkenalan.
Ketika itu, Liya merupakan ibu tunggal kepada dua anak yang masih kecil, manakala lelaki terbabit baru kehilangan isteri warga tempatan dan mempunyai dua anak.
“Pada mulanya dia sangat baik, selalu membantu saya dan anak-anak. Dia juga rapat dengan keluarga kerana mak merupakan pelanggan di kedai tempat dia bekerja,” katanya kepada Kosmo!.
Liya bagaimanapun mengakui membuat kesilapan apabila tidak menyemak lebih lanjut mengenai latar belakang lelaki itu hanya kerana percaya dengan sikap prihatin dan mulut manis sepanjang tempoh perkenalan mereka.
“Hubungan kami menjadi tidak baik kurang setahun selepas berkahwin terutama membabitkan soal anak-anak.
“Anak kandungnya sudah biasa dengan cara hidup bebas dan sering mengadu kepada bapa mereka setiap kali ditegur. Masalahnya, dia lebih percaya kata anak-anak daripada bertanya kepada saya. Dari situ kami kerap bergaduh dan dia mula naik tangan,” dakwanya.
Katanya, kejadian pertama berlaku kira-kira lapan bulan selepas berkahwin sebelum dia makin kerap didera.
Dakwanya, selain ditampar dan ditarik rambut, kepalanya juga pernah dihentak ke dinding selain diugut bunuh sekiranya meminta cerai.
“Dia pernah cakap kalau saya minta cerai, saya akan keluar rumah dalam keadaan mayat. Saya juga pernah lihat dia mencekik anak kami,” katanya.
Katanya, kemuncak penderitaan itu berlaku apabila dia membuat laporan polis selepas dipukul sehingga mengalami kecederaan di kepala dan badan.
Liya turut mendakwa suaminya pernah menghantar video memukul anak-anaknya sendiri kepada keluarga di Pakistan sambil mengugut supaya wang RM40,000 dihantar kepadanya.
Menurutnya, keluarga lelaki itu kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada saudara-mara di Malaysia sebelum laporan polis dibuat.
Dakwanya, suaminya kemudian ditahan dan dipenjara selama dua tahun lapan bulan atas kesalahan penderaan kanak-kanak.
Sementara itu, nasib sama turut dilalui seorang pembantu kedai makan di Gua Musang, Kelantan apabila kehidupannya berubah selepas berkahwin dengan lelaki warga Bangladesh sejak 12 tahun lalu.
Wanita yang mahu dikenali sebagai Ning, 40, itu berkata, dia juga tidak menyangka lelaki yang dicintai rupa-rupanya seorang ‘tangkai jering’.
Katanya, lelaki berasal dari Dhaka, Bangladesh itu dahulunya seorang yang bermulut manis dan baik hati, namun berubah selepas mendirikan rumah tangga selain lebih mengutamakan keluarga di negara asal.
“Sepanjang berkahwin, saya hanya menerima wang saku kira-kira RM5 hingga RM10 sehari dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.
“Meskipun sudah dikurniakan tiga orang anak, beban kewangan keluarga banyak saya yang tanggung termasuk urusan makan minum dan keperluan harian anak-anak.
“Suami mungkin tidak pernah mengasari secara fizikal, tetapi tekanan emosi akibat masalah kewangan berpanjangan memberi kesan besar kepada kehidupan saya,” katanya.
Ning memberitahu, keadaan itu memaksanya mencari sumber pendapatan sendiri demi memastikan anak-anak tidak terabai.
Katanya, dia terpaksa bekerja sebagai pembantu kedai makan bagi mencari pendapatan tambahan demi kelangsungan hidup keluarga.
“Saya perlu berdikari dan bekerja sendiri untuk memastikan anak-anak cukup makan dan bersekolah seperti biasa.
“Sehingga kini, saya masih bertahan dalam perkahwinan demi anak-anak. Saya mengakui berasa malu untuk meminta pertolongan keluarga kerana tidak mengendahkan nasihat mereka sebelum ini,” katanya.
Ning berkata, suaminya sebelum ini pernah pulang ke Dhaka selama enam bulan dan meninggalkannya bersama anak-anak di Malaysia.
“Dia kumpul duit dengan bekerja sebagai buruh binaan semata-mata untuk diberikan kepada keluarganya di kampung halaman.
“Saya rasa seperti dipergunakan apabila perkahwinan ini hanya seperti tempat untuk dia menumpang hidup tanpa memikul tanggungjawab sebagai suami,” katanya.
Ning memberitahu, dia langsung tidak percaya impiannya untuk hidup bahagia bersama suami kini hanya tinggal angan-angan.
“Saya perlu kuat dan tabah dengan ujian ini dan mahu melihat anak-anak membesar degan baik.
“Bagaimanapun, saya tidak sangka kehidupan selepas berkahwin akan jadi begini. Dahulu dia sangat mengambil berat, tetapi selepas berkahwin semuanya berubah dan saya terpaksa menanggung akibatnyaa,” kata Ning.
















