KOTA BHARU – Seorang guru al-Quran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah surau di Bachok baru-baru ini.
Tertuduh, Muhammad Aiman Ahmad Shakir, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu ke atas mangsa berusia enam tahun lima bulan pada pukul 5.30 hingga 6 petang, 2 Julai dan 17 Julai lalu.
Bagi pertuduhan ketujuh hingga kesembilan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi mangsa berusia enam tahun empat bulan pada pukul 6 hingga 6.30 petang, 13 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM24,000 bagi kesemua pertuduhan selain melapor diri di balai polis setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 8 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh tidak membayar jaminan tersebut. – KOSMO! ONLINE