fbpx
Azilah ketika dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada Oktober tahun lalu.

Keluarga Altantuya mohon semakan kehakiman afidavit Azilah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman supaya polis menyiasat afidavit tambahan yang dibuat oleh seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.

Peguam Sangeet Kaur Deo dalam satu kenyataan hari ini berkata, anak guamnya memohon perintah untuk memaksa polis menyiasat kandungan afidavit tambahan Azilah Hadri bertarikh 24 September 2024.

Permohonan tersebut difailkan oleh bapanya, Dr. Shaariibuu Setev di Pejabat Pendaftaran Sivil, Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu.

Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden.

Dalam permohonan itu, Shaariibuu menyatakan, polis tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan Azilah yang juga bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK).

Ujar bapa mendiang, keputusan polis bertindak demikian adalah bertentangan dengan undang-undang dan tindakan itu memungkiri kewajipan berjaga-jaga dan tidak mengikut prosedur.

Menurut permohonan tersebut, jika siasatan terhadap afidavit tambahan itu masih berjalan, warga asing itu memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Selain itu, Shaariibuu selaku pemohon turut mahukan perintah mandamus supaya polis memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh Bukit Aman (responden kedua) terhadap afidavit Azilah dalam tempoh tujuh hari.

Ujarnya, jika polis memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai `No Further Action’, pemohon mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.

Mahkamah menetapkan 29 September ini bagi permohonan Shaariibuu untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman yang akan didengar di hadapan Hakim Aliza Sulaiman.

Dalam afidavit yang diikrarkan oleh bekas Cif Inspektor itu mengandungi akuan berkanun bertarikh 17 Oktober 2019, yang kemudian digunakan untuk menyokong permohonan semakan hukuman mati di Mahkamah Persekutuan pada 10 Oktober 2024.

Afidavit itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan `pihak atasan’ melaksanakan ‘operasi sulit’ untuk menghapuskan si mati.

Permohonan semakan itu dibenarkan panel Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Mahkamah kemudian menggantikan hukuman mati Azilah kepada penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan, ditolak tempoh beliau dibebaskan selepas keputusan Mahkamah Rayuan, serta 12 sebatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI