BANDAR RAYA NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan semalam bahawa lebih 36,000 penduduk Gaza terpaksa berpindah sejak gelombang serangan baharu Israel ke atas Bandar Gaza bermula awal bulan ini, lapor agensi berita Anadolu.
“Orang ramai terus melarikan diri dalam ketakutan untuk menyelamatkan nyawa mereka dan mencari lokasi selamat di mana-mana sahaja,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang akhbar ketika memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Tambah Dujarric, antara 14 Ogos lalu iaitu apabila serangan ke atas Bandar Gaza diumumkan hingga semalam, rakan kongsi PBB yang menjejaki pergerakan penduduk merekodkan lebih 36,200 perpindahan.
“Ia termasuk lebih 11,600 dari utara ke selatan Semenanjung Gaza,” katanya.
Jelas Dujarric, daripada jumlah itu, lebih 2,000 perpindahan direkodkan antara 24 hingga 25 Ogos sahaja.
“Majoriti orang yang berpindah datang dari kawasan kejiranan di Bandar Gaza, dengan lebih dua pertiga berpindah ke Deir al Balah dan hampir satu pertiga menuju ke Khan Yunis,” kata beliau.
Pada masa sama, Dujarric berkata, pertempuran di seluruh Gaza termasuk tembakan dan serangan udara Israel, terus memberi kesan buruk kepada orang awam.
“Tentera Israel juga telah mengeluarkan arahan pemindahan baharu meliputi kira-kira 1 kilometer persegi di kawasan kejiranan Ad Daraj dan Ash Sheikh Radwan di Gaza,” tambahnya.
Ujarnya lagi, operasi bantuan masih amat dihadkan oleh pihak berkuasa Israel, di mana pada kelmarin, enam daripada 12 misi yang dirancang telah dihalang, dua dibatalkan dan satu misi pembaikan jalan di Khan Yunis dihalang secara langsung. – AGENSI