fbpx
Kereta api barang membawa kontena kargo di Ajmer semalam. - AFP

Tarif 50 peratus AS ke atas India bermula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NEW DELHI – Tarif import Amerika Syarikat (AS) sebanyak 50 peratus ke atas sejumlah produk India mula berkuat kuasa hari ini sekali gus menggandakan duti sedia ada ketika Presiden Donald Trump ‘menghukum’ New Delhi kerana membeli minyak dari Russia.

Trump meningkatkan tekanan ke atas India berhubung urus niaga tenaga yang menjadi sumber utama pendapatan untuk perang Moscow di Ukraine. Ia adalah sebahagian daripada kempen untuk menamatkan konflik tersebut.

Langkah terbaharu itu menjejaskan hubungan AS-India, namun memberikan New Delhi insentif baharu untuk memperbaiki hubungan dengan Beijing.

Walaupun Trump melaksanakan tarif import baharu ke atas sekutu-sekutu dan pesaing-pesaingnya sejak kembali ke jawatan Presiden pada Januari lalu, kadar 50 peratus itu adalah antara yang tertinggi.

Bagaimanapun, pengecualian kekal untuk sektor yang boleh dikenakan levi berasingan seperti farmaseutikal dan cip komputer.

Telefon pintar berada dalam senarai produk yang turut dikecualikan.

Industri yang dikhususkan seperti keluli, aluminium dan kereta, turut terhindar daripada levi di seluruh negara itu.

AS adalah destinasi eksport utama India pada 2024, dengan penghantaran bernilai AS$87.3 bilion (RM370 bilion).

Dalam masa sama, Russia membentuk hampir 36 peratus daripada jumlah import minyak mentah India pada 2024. 

Membeli minyak Russia mampu menjimatkan berbilion dolar buat India bagi kos import sekali gus mengekalkan kestabilan harga bahan api domestik. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN