fbpx
Anwar (tengah) ketika sesi bergambar pada Majlis Peluncuran Program CD:NXT Bakat Digital Masa Depan di CelcomDigi Hub, Subang Jaya hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

Latih lebih ramai bakat tempatan untuk AI – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUBANG JAYA – Malaysia perlu melatih bakat-bakat tempatan bagi memasukkan disiplin ilmu khususnya berkaitan agama, budaya dan bahasa di negara ini bagi teknologi kecerdasan buatan (AI) sekali gus memenuhi keperluan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, maklumat diperoleh melalui teknologi AI adalah berdasarkan informasi sedia ada yang kemudiannya dilontarkan kepada pengguna.

“Ia daripada apa yang dilontarkan dan dimasukkan (maklumat), kemudian apa yang dikeluarkan itu (berdasarkan) maklumat yang ada. Sebab itu ‘talent’ (bakat) harus dilatih untuk memasukkan disiplin kita.

“(Maklumat) dari Amerika Syarikat, Russia, China (semua ada), tapi daripada kita, agama, budaya, bahasa kita, tak ada. Bagaimana boleh latih bakat yang memenuhi keperluan kita, tentunya semua teknologi,” katanya berucap melancarkan Program CD:NXT CelcomDigi di sini, hari ini.

Beliau turut memberikan contoh kejadian di luar negara baru-baru ini apabila ada pihak yang mencari penjelasan ayat al-Quran melalui ChatGPT, namun memalukan apabila maklumat dikongsikan bukannya ayat suci kitab berkenaan.

“Bunyi macam al-Quran, tapi bukan. Justeru kepintaran manusia harus ada dalam membezakan elemen nilai dan manusia dengan kepintaran teknologi maklumat AI yang sangat diperlukan,” katanya.

Anwar turut menekankan mengenai ‘AI Productivity Paradox’ yang mana kemajuan teknologi semata-mata tidak menjamin peningkatan produktiviti jika ia tidak dimanfaatkan dengan bijak.

“Bila kita belajar dan memperkenalkan AI, maksudnya lebih pintar dan produktiviti mesti meningkat. Tapi tak semestinya ia berlaku. Ini lah ‘AI Productivity Paradox’.

“Dulu tahun 1980-an, bila komputer (diperkenalkan), kita kejar beli komputer, tiap-tiap jabatan berbilion ringgit (dibelanjakan). Dengan komputer, maka kita mesti kurangkan penggunaan kertas.

“Tapi banyak jabatan, banyak kertas (digunakan). Jadi apa erti produktiviti di sini dan hal-hal ini merenung untuk kita berfikir bagaimana harus kita tingkatkan keupayaan,” katanya.

Berhubung majlis pelancaran Program CD:NXT CelcomDigi hari ini, ia inisiatif utama CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) membangunkan barisan pemimpin digital generasi akan datang.

Program strategik ini merupakan satu langkah maju dalam usaha Malaysia ke arah menjadi ekonomi digital yang dijana 5G-AI.

CelcomDigi komited untuk melengkapkan 5,000 tenaga muda Malaysia dengan pengetahuan, pengalaman praktikal, serta kemahiran masa hadapan dalam bidang AI, teknologi, data dan analitik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI