KUALA LUMPUR – Isu peletakkan jawatan Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencetuskan 1,001 persoalan yang wajar dinoktahkan dengan jawapan dalam kadar segera.
Persoalan besar ketika ini menjurus kepada mandat ahli gabungan yang sebelum ini memberikan ‘kuasa’ hingga menyaksikan Joehari dilantik mengisi kerusi panas itu selepas menang tanpa bertanding pada Kongres Pemilihan FAM penggal 2025-2029, Februari lalu.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli membangkitkan persoalan ‘kehilangan’ suara ahli gabungan FAM selepas wujudnya isu peletakkan jawatan Joehari.
“Dulu diberi kepercayaan menang tanpa bertanding tetapi persoalannya adakah kali ini ia turut mendapat restu (ahli gabungan)? Seolah-olah ahli gabungan sudah jangka tetapi tetap beri mandat itu.
“Tidak boleh terjadi seperti ini dalam persatuan sukan kebangsaan, lagi-lagi bola sepak yang semua orang mengharapkan FAM diurus tadbir secara telus. Kita kena pandang serius, menteri pun kena tengok dan tidak boleh biarkan ia terjadi.
“Mana suara ahli gabungan sekarang? Kalau mereka tahu (peletakan jawatan) dan bersubahat dengan semua ini, mereka tidak bertanggungjawab,” katanya yang mengakui isu itu memberi imej tidak baik buat FAM di mata pihak penaja.
Ketika ini, Joehari dilaporkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan pada Jumaat lalu dan dikhabarkan bilik presiden di Wisma FAM juga sudah dikosongkan mulai minggu ini.
Satu mesyuarat khas dijangka diadakan minggu ini bagi membincangkan dan mengesahkan surat peletakan jawatan berkenaan.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dijangka memikul jawatan presiden selaku pemangku sebelum satu kongres pemilihan diadakan semula.
Untuk rekod, Joehari sebelum ini menjawat jawatan Naib Presiden dan muncul individu pertama dari Sabah menerajui FAM menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd. Amin. – KOSMO! ONLINE