LUMUT – Seorang lelaki berhadapan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar kira-kira 1.7 kilogram (kg) dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) di Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini.
Tertuduh, Ngo Shee Hao, 29, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dia dituduh mengedar 124.13 gram (g) MDMA di kawasan belakang kedai Huat Tyre Service Center, Persiaran 2/2, Pusat Bandar Seri Manjung di sini pada pukul 9.30 malam yang mana ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Shee Hao juga dituduh pada tarikh sama mengedar MDMA seberat 1,673g di bahagian tepi sebelah kanan rumah beralamat No.343, Kampung Simpang Dua, Sitiawan di sini pada pukul 11 malam dengan kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid. Tiada jaminan dibenarkan dan sebutan semula kes adalah pada Oktober hadapan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman mati tidak dikenakan, dia hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan. – KOSMO! ONLINE