KOTA BHARU – Hasil bedah siasat terhadap seorang yang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini semalam mendapati terdapat kesan luka kelar pada leher mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, bedah siasat ke atas mangsa dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini kira-kira pukul 12.15 tengah malam tadi.
Menurutnya, hasil bedah siasat mengesahkan kematian lelaki itu berpunca daripada kesan luka kelar pada lehernya.
“Identiti mangsa masih belum dikenal pasti sehingga laporan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh.
“Mayat mangsa yang belum dapat disahkan kewarganegaraannya itu dijumpai terapung di Sungai Kelantan dengan berpakaian baju-T berkolar berwarna ungu, berseluar pendek coklat dan bertali pinggang dengan keadaan mayat sudah membengkak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Rosdi memberitahu, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE