KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh Sungai Kelantan dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, tiga hari lalu.
Lelaki yang berusia 55 tahun itu dijumpai lengkap berpakaian di tebing Sungai Kelantan kira-kira pukul 6.30 petang semalam.
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azman, 40, berkata, dia melihat satu objek terapung tersangkut pada kayu di sungai berkenaan.
Katanya, dia segera menghubungi pihak polis untuk memaklumkan penemuan mayat di kawasan tersebut.
Ketua Skuad Anggota Unit Marin Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Mohd. Khairulizuan Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.05 malam.
Katanya, dia bersama anggota APM bergegas ke lokasi untuk mengangkat mangsa yang dipercayai lemas sejak tiga hari lalu.
“Badan mangsa sudah bengkak dan berbau. Mayat lelaki itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Difahamkan, lelaki yang berasal dari Gerik, Perak itu dipercayai terjatuh selepas orang awam menjumpai kasut dan beg galasnya yang ditinggalkan atas jambatan tersebut. – KOSMO! ONLINE