KUALA LUMPUR – Individu yang menyebar fitnah mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bakal berdepan tindakan selepas pihak pengurusan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, laporan tersebut dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Mengenai isu TH dan fitnah yang disebarkan dalam media sosial, saya sahkan bahawa pihak TH telah membuat laporan. Kedua-dua laporan polis dan MCMC.
“Individu yang didapati mengeluarkan fitnah terhadap TH terutama selepas penjelasan diberikan oleh TH dan jawapan oleh Menteri Agama dalam Parlimen, maka pihak-pihak tersebut sedang dikesan untuk diambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena program Denyut Nadi Merdeka: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, di sini hari ini.
Fahmi turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu merupakan satu jenayah dan boleh didenda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.
“Kita lihat sebelum ini bagi kes Allahyarham Zara Qairina, ada seorang cikgu ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Seorang lagi ditahan reman tiga malam dan saya percaya dalam masa terdekat akan dihadapkan ke muka pengadilan.
“Samalah juga dalam kes TH, fitnah yang dilemparkan maka tindakan akan diambil berlandaskan undang-undang.
“Semestinya Seksyen 233 (kesalahan) penyalahgunaan rangkaian dan sekiranya ada apa-apa aspek lain maka kita serah kepada pihak polis kerana ada dua laporan kepada MCMC dan PDRM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














