fbpx
Pihak berkuasa ketika melakukan pemeriksaan di sebuah tapak pembinaan kediaman bertingkat di Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak, Selasa lalu. FOTO DBKL

Tapak bina ditutup, 8 PATI dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebuah tapak pembinaan kediaman bertingkat diarah tutup selepas dikesan melakukan pelbagai pelanggaran termasuk isu kebersihan, keselamatan dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen di Jalan Tasik Permaisuri, Bandar Tun Razak di sini, Selasa lalu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, tindakan itu diambil menerusi Operasi Bersepadu Tapak Pembinaan Siri 4/2026 yang dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Menurut DBKL, pemeriksaan dijalankan bagi memastikan tahap kebersihan, keselamatan tapak pembinaan, keselamatan pekerja serta pematuhan permit dan syarat-syarat pembinaan mengikut peruntukan undang-undang.

“Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan sehingga DBKL mengeluarkan lapan notis kompaun.

“Antara kesalahan dikesan ialah kacau ganggu akibat kerja pembinaan ke atas saluran longkang awam, pembinaan struktur sementara tanpa kelulusan, pembiakan nyamuk di dalam kawasan tapak serta penggunaan lori membawa bahan binaan tanpa permit laluan,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, susulan pelanggaran tersebut, DBKL mengarahkan tapak pembinaan berkenaan ditutup sehingga kontraktor mematuhi sepenuhnya aspek kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan.

Tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975, Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Dalam operasi sama, pihak JIM dan PDRM turut menahan lapan pekerja binaan warga Bangladesh selepas pemeriksaan mendapati terdapat isu berkaitan dokumen perjalanan dan permit kerja.

Sementara itu, CIDB mengeluarkan dua notis N2/2015 kepada kontraktor utama yang diberi tempoh 14 hari untuk mengemukakan dokumen berkaitan projek pembinaan yang sedang dijalankan.

“Serta tindakan berkaitan tahap keselamatan pendawaian elektrik secara merbahaya, penggunaan petrol bagi janakuasa, ketiadaan tempat penyimpanan alat pemadam api dan tamat tempoh, serta penggunaan gas petroleum cecair bagi kawasan dapur tanpa pengawasan sewajarnya oleh pihak JBPM,” ujarnya.

DBKL memaklumkan operasi bersepadu seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan awam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN