SHAH ALAM – Pasukan Malaysia mencipta kejayaan apabila meraih pingat emas dan perak bagi Kategori Puck Collector Junior dalam kejohanan International Robot Challenge World Championship 2025, baru-baru ini.
Kejohanan di Gymnasium of Beijing Science and Technology University, China yang disertai lebih 40 buah negara berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos lalu.
Pengasas dan Pengarah Urusan World of Robotics Sdn. Bhd., Lee Yew Kein berkata, kejayaan itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding penyertaan sebelum ini hanya membawa pulang satu pingat perak dan satu pingat gangsa.
Katanya, pencapaian ini membuktikan kemampuan Malaysia untuk berdiri setanding dengan kuasa besar dunia dalam bidang robotik.
“Semangat juang pasukan kita terdiri pelajar dari sekolah rendah hingga kolej Vokasional membuktikan mampu mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
“Pingat emas yang diraih tahun ini adalah hasil usaha kolektif seluruh pasukan serta sokongan padu ibu bapa dan jurulatih. Kami amat berbangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, pasukan yang terdiri 70 pelajar tersebut menerima program latihan yang tersusun sejak Mei lalu.
Ujarnya, ia bukan sahaja menekankan aspek teknikal tetapi turut memupuk disiplin, semangat berpasukan dan daya ketahanan bagi bersaing di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini adalah satu permulaan kepada misi yang lebih besar dalam melahirkan lebih ramai pelajar Malaysia dengan pendidikan robotik bertaraf dunia serta menyediakan platform antarabangsa bagi mereka menonjolkan bakat.
“Kami berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat robotik di Asia selain melatih ribuan pelajar, seterusnya mempersiapkan mereka sebagai peneraju teknologi, inovasi dan keusahawanan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE