SHAH ALAM – Tri Shaas Sdn. Bhd. membuka cawangan ke-11 Mydin Mart yang terletak di Seksyen 13, di sini hari ini.
Pengarah Urusannya, Shaakir Siraj berkata, pihaknya bakal membuka satu lagi outlet Mydin Mart bertempat di Olak Lempit, Kuala Langat pada bulan hadapan.
Jelasnya, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran dari segi jumlah cawangan baharu yang bakal dibuka, sebaliknya keputusan akan dibuat berdasarkan potensi di sesebuah kawasan sama ada ia boleh memberikan pulangan hasil yang baik.
“Setiap jenama mempunyai kekuatan tersendiri, termasuk jenama Mydin yang mana kebanyakan rakyat tahu jenama Mydin.
“Selain itu, barang yang ditawarkan Mydin dijual pada harga murah dan berkualiti,” katanya selepas merasmikan rangkaian Mydin Mart ke-11, di sini.
Menurutnya, kira-kira 4,200 produk dijual di outlet Mydin Mart Shah Alam merangkumi produk makanan, kebersihan badan, kegunaan harian dan lain-lain.
Sehubungan itu kata Shaakir, pelanggan kebiasaannya tidak mengambil masa lama untuk membeli barangan keperluan di rangkaian tersebut.
“Kita anggarkan setiap pelanggan akan habiskan masa dalam kedai ini dalam tempoh 10 ke 15 minit, dengan berbelanja sekitar RM20 hingga RM30.
“Itu yang saya nampak kelebihan pada Mydin Mart yang kedai lain mungkin tidak ada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE