NEW DELHI – Seorang pramugari syarikat penerbangan Emirates terbang dari Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) ke Kerala, India untuk mengejutkan neneknya dengan hadiah hari jadi berupa gelang emas, lapor laman berita India Today semalam.
Zainab Roshna berkongsikan video memaparkam detik tersebut di Instagram dengan kapsyen: “Selamat Hari Jadi Ummumma (nenek).”
“Ini hadiah emas pertama saya untuk nenek, jadi saya berkeras mahu menyerahkannya sendiri dan terbang dari Dubai ke Kerala,” tambahnya.
Video itu menunjukkan Zainab perlahan-lahan menyarungkan gelang emas pada pergelangan tangan neneknya, sambil warga emas itu tersenyum penuh emosi.
Tersentuh dengan kasih sayang cucunya, nenek tersebut mencium Zainab, menjadikan momen itu lebih mengharukan pengguna media sosial.
Harga gelang emas itu bagaimanapun tidak didedahkan.
Hantaran itu menjadi tular di media sosial, dengan orang ramai memuji gadis tersebut kerana mengutamakan keluarga walaupun sibuk dengan kerjayanya di luar negara. – AGENSI