fbpx
Keadaan pusat pemeriksaan di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai dekat Tak Bai, Thailand yang musnah akibat letupan kelmarin.

Letupan Tak Bai: Dua suspek dikhuatiri lolos ke Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Pihak berkuasa Thailand memperketatkan kawalan di sepanjang Sungai Golok bagi mengelakkan dua suspek yang melakukan serangan dengan kereta dipasang bom di Tak Bai dekat sini malam kelmarin melarikan diri ke Malaysia.

Jurucakap Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4), Kolonel Kiattisak Neewong berkata, gerakan memburu kedua-dua suspek yang dipercayai terbabit dalam serangan itu dipergiatkan selepas pihaknya menerima arahan daripada Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang

Menurutnya, Paisan sudah meninjau tempat kejadian di Pangkalan Operasi Sukarelawan Keselamatan Salamai di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai, di sini pagi semalam.

“Beliau telah mengarahkan semua unit keselamatan bekerjasama dalam memantau laluan tertentu khususnya di sepanjang Sungai Golok di sempadan Thailand-Malaysia bagi mengelakkan suspek melarikan diri.

“Paisan turut mengarahkan operasi keselamatan di semua pangkalan dipertingkatkan terutamanya di kawasan berisiko menjadi sasaran kumpulan bersenjata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kiattisak memberitahu, empat anggota sukarelawan pertahanan cedera akibat kekuatan letupan bom yang dipasang pada kereta semasa kejadian tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati, kereta jenis Toyota Vios yang digunakan dalam serangan itu ditukar warna dan dipasang dengan nombor pendaftaran palsu.

“Salah seorang suspek memandu kereta tersebut sebelum keluar apabila tiba di pangkalan operasi. Kereta tersebut dibiarkan bergerak menghampiri kawasan sasaran.

“Seorang lagi suspek yang menunggang motosikal datang mengambil pemandu kereta sebelum melarikan diri melalui lorong berhampiran Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Perikanan Laut Narathiwat,” ujarnya.

Kiattisak berkata, pihak keselamatan sudah mengumpul maklumat, menjejak dan menangkap ramai suspek yang terlibat dalam kejadian keganasan sejak kebelakangan ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam kelmarin itu, empat anggota Pasukan Pertahanan Sukarelawan cedera selepas kereta dipasang bom yang menyasarkan pusat pemeriksaan meletup di Kampung Khok Mafueang, Mukim Salamai, Tak Bai di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI