KUALA LUMPUR – Tiga kenderaan termasuk dua dipandu warga Bangladesh disita dalam Operasi Prebet Sapu dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sekitar Jalan Silang, Jalan Yap Kwan Seng dan pusat bandar, baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan Unit Operasi dan Falcon JPJ WPKL selama tiga hari, bermula Isnin lalu turut mengesan pelbagai kesalahan termasuk salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada lesen pengendali dan kesalahan teknikal.
Menurut Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam, ketiga-tiga kenderaan berkenaan dipandu dua lelaki warga Bangladesh dan seorang warga tempatan sebelum tindakan saman dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik kenderaan.
Katanya, tindakan saman adalah mengikut peruntukan di bawah Seksyen 80 dan Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“JPJ menegaskan pemilik kenderaan berdaftar tidak membenarkan warga asing memandu kenderaan milik mereka atau menyalahgunakan LKM bagi tujuan perniagaan kerana tindakan tegas akan dikenakan kepada pemilik kenderaan berdaftar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan adalah langkah terakhir selepas advokasi dan khidmat nasihat diberi terlebih dahulu bagi memastikan orang ramai faham bahawa undang-undang jalan raya bukan untuk menghukum, tetapi demi keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya.
“Keselamatan jalan raya bukanlah perkara yang boleh diambil ringan kerana ianya melibatkan nyawa pengguna jalan raya setiap saat apabila berada di atas jalan raya.
“Justeru pematuhan peraturan serta undang-undang perlu dipatuhi demi menyelamatkan nyawa ribuan pengguna di jalan,” ujarnya.
Beliau meminta agar orang awam yang mempunyai maklumat berhubung pelanggaran undang-undang digalak menyalurkannya melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel [email protected].
Hamidi berkata, pihaknya kekal komited memastikan setiap kenderaan mematuhi peraturan di jalan raya demi keselamatan semua. – KOSMO! ONLINE