PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi jaminan dalam memudahkan pergerakan peserta Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu, Sabtu ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengiktiraf peranan komuniti permotoran sebagai pemangkin semangat kebersamaan.
Menurutnya, program berimpak tinggi itu bukan sahaja menghimpunkan peminat dan penggiat permotoran dari seluruh negara, bahkan menjadi platform strategik untuk mengangkat imej budaya permotoran ke tahap yang lebih positif.
“JPJ menyeru semua peserta agar mematuhi undang-undang jalan raya dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak penganjur demi menjamin kelancaran serta keselamatan peserta program ini.
“Semoga penganjuran ini bukan sahaja menjadi manifestasi budaya permotoran yang harmoni, malah turut memperkukuh perpaduan nasional dan menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, katanya, JPJ juga akan mengagihkan sebanyak 3,000 topi keledar melalui Program Pertukaran Topi Keledar kepada pengunjung terawal.
Katanya, ia sebagai simbol usaha bersama dalam meningkatkan budaya pematuhan keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan akan menyalurkan peruntukan awal RM100,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0. – KOSMO! ONLINE