PONTIAN – Seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan di Pusat Perdagangan Pontian di sini hari ini.
Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dalam kenyataan memaklumkan, wakil pekerja klinik pergigian swasta yang ditahan melibatkan tiga wanita dan seorang lelaki tempatan.
Kenyataan itu berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk siasatan lanjut.
“Premis melakukan kesalahan di bawah UUK 45, Pengibaran Bendera, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDP) 2019.
“Empat individu berkenaan termasuk pekerja dan pemilik klinik pergigian swasta akan dirakam percakapan untuk siasatan insiden berkenaan,”kata kenyataan itu.
MPPn berkata, pihaknya telah menerima laporan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik di sebuah klinik swasta berkenaan sebelum dua anggota penguat kuasa telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
Hasil semakan langsung di lapangan mendapati kesalahan pemasangan bendera Malaysia dalam keadaan terbalik telah berlaku dengan menggantung pada tingkap aras dua bahagian dalam premis berkenaan.
Bagaimanapun, setiba di lokasi mendapati premis tersebut telah tamat waktu operasi dan pihak MPPn dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menghubungi pekerja premis untuk datang ke lokasi kejadian serta-merta.
Wakil pekerja telah hadir ke lokasi dan tindakan pembetulan telah dilaksanakan serta-merta oleh pekerja yang sama memasang bendera Malaysia dalam keadaan terbalik.
Tindakan pembetulan dilaksanakan serta-merta terhadap bendera Malaysia yang terbalik dan kedudukan di antara bendera Johor dan Malaysia juga diperbetulkan dengan arahan serta pemantauan bersama pihak MPPn dan juga PDRM.-KOSMO! ONLINE