fbpx
MUNOZ (kiri) mahu JDT memastikan mereka membuka tirai jaringan di peringkat antarabangsa dengan kemenangan berdepan Lion City.

ACC: JDT mahu buka langkah kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menuntut pemain untuk memberikan aksi bertenaga sepanjang tempoh 90 minit dalam penampilan sulung Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee ketika berdepan kelab Liga Singapura, Lion City Sailors malam ini.

Munoz berkata, ini adalah perlawanan kompetitif antarabangsa pertama buat skuad Harimau Selatan musim ini dan mahu membuka langkah kanan dengan mengutip tiga mata.

Katanya, pemain perlu mengekalkan rentak kemenangan dalam saingan domestik dan menterjemahkan momentum itu apabila berdepan naib juara Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) musim lalu.

“Dalam saingan antarabangsa ini, kami boleh menurunkan seramai mana pemain import dan kesemua pemain berada pada tahap terbaik untuk diturunkan pada perlawanan itu.

“Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu yakin dan perlu memberi tumpuan penuh pada aksi di atas padang. Kami sudah mengkaji aksi pasukan lawan dan tahu taktikal yang mereka gunakan selain transisi permainan yang selalu diterapkan lawan,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Selain Lion City Sailors, skuad Harimau Selatan turut diundi bersama kelab dari Thailand, Bangkok United, Nam Dinh (Vietnam), PKR Svay Rieng (Kemboja) dan Shan United (Myanmar).

Pengendali kelahiran Sepanyol itu juga berkata, pemain perlu memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri bagi memastikan misi mengutip tiga mata pertama tercapai sekali gus membuka peluang untuk melangkah lebih jauh dalam kejohanan itu.

Ditanya mengenai Samu Castillejo, katanya, pemain bintang itu kini dalam sudah menjalani latihan bersama pasukan dan akan memantau keadaannya secara dekat sama ada bersedia untuk diturunkan atau sebaliknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI