SUBANG JAYA – Polis sudah merakam percakapan seramai 19 individu termasuk ahli keluarga, rakan serta beberapa saksi lain bagi membantu siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar kolej di USJ 2, di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan masih giat dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian serta mengesan suspek yang terlibat.
“Setakat ini, pihak polis masih meneruskan siasatan dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan ringkas malam ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis mengesahkan kematian seorang pelajar kolej berusia lingkungan 20-an di rumah berkenaan diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Wan Azlan berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki kira-kira pukul 11.55 pagi dan pengadu memaklumkan menemui anak perempuannya dalam keadaan tergantung pada kipas di ruang tamu tingkat dua. – KOSMO! ONLINE