GEORGE TOWN – Luluh hati seorang ibu apabilanya anak lelakinya yang berusia 17 tahun terpaksa ditidurkan selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Bayan Baru, di sini Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, Muhammad Syahmin Azhar yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera parah termasuk sebelah paru-parunya rosak, urat kaki kanan putus dan patah rahang.
Setakat semalam remaja itu yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang masih belum sedarkan diri.
Lebih memilukan, biarpun sudah lima hari berlalu, pemilik kereta mewah jenis Mercedes-Benz yang dipercayai melanggar mangsa masih belum tampil.
Cerita Salina Mohd. Salleh, 42, kejadian yang menimpa anaknya berlaku selepas mereka sekeluarga keluar makan malam dengan menunggang dua buah motosikal untuk pulang ke rumah di Batu Uban.
“Saya membonceng motosikal bersama suami, manakala anak (Muhammad Syahmin) pula menunggang Yamaha Y15 bersama abang saudaranya. Motosikal suami berada di hadapan dan kedudukan kami agak jauh.
“Sebaik sampai di rumah, saya terima panggilan mengatakan anak dilanggar sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna perak.
“Pilu hati seorang ibu apabila melihat anak yang cedera parah terlentang atas jalan. Saya tidak sampai hati lihat anak meronta-ronta sakit semasa tiba di hospital,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Difahamkan, Muhammad Syahmin terpaksa ditidurkan ekoran kecederaan dalaman yang dialami dan selesai menjalani pembedahan pertama pada malam kejadian.
Menurut Salina, anaknya bukan sahaja dirempuh kereta itu dari arah belakang, malah turut diseret sebelum pemandunya melarikan diri.
Anak saudara Salina pula hanya cedera ringan.
Wanita itu memberitahu, terdapat pengguna jalan raya berkongsi video kamera papan pemuka semasa kejadian, namun kedudukannya agak jauh.
“Sampai hari ini (semalam), si pelaku (pemandu kereta) langsung tidak tampil dan kami tidak tahu siapa identiti pemandu terbabit. Saya rayu supaya dia datang berjumpa kami.
“Saya pernah kehilangan anak sulung (Nurul Anis Asyikin) yang berusia 15 tahun akibat penyakit dalaman enam tahun lalu. Sekarang anak tunggal lelaki saya pula parah dilanggar.
“Tetapi saya yakin dan percaya anak saya (Muhammad Syahmin) akan sedar dan kembali sihat seperti sediakala, jadi dia akan dapat menduduki peperiksaan SPM nanti,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman dashcam kejadian kemalangan itu diminta supaya menghubungi suami Salina, Azhar Awang Abu di talian 011-3933 2016.














