fbpx
ROBOT Mall di Beijing merupakan kompleks beli-belah empat tingkat berkonsep 4S (sales, services, spare parts and survey) khusus untuk beli-belah robot humanoid meliputi lebih 50 model.

China terkedepan, sudah ada kompleks beli-belah robot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEDAI gajet yang menjual produk, alat ganti dan melakukan baik pulih sudah menjadi sebahagian dalam kalangan masyarakat.

Namun, hari ini China melangkah ke dunia lebih moden dengan membuka peluang kepada orang ramai memasuki gedung dan memilih robot humanoid untuk dibawa pulang.

Hal ini menjadi realiti di Beijing apabila melakar satu lagi bab futuristik dengan pembukaan kompleks beli-belah Robot Mall.

Menurut pengarah Robot Mall, Wang Yifan, perniagaan mereka merupakan sebuah pusat beli-belah 4S pertama di dunia khusus untuk robot humanoid. 4S merujuk kepada sales, service, spare parts dan surveys (jualan, perkhidmatan, alat ganti dan maklum balas).

Terletak di E-Town, kawasan hab teknologi kira-kira 40 minit dari pusat bandar Beijing, ia persis model pusat jualan automotif tetapi diterjemahkan untuk ekosistem robot.

“Pembukaan ini bertepatan dengan musim persidangan dan kejohanan robot di ibu negara China, menandakan dorongan besar-besaran negara ini untuk memodenkan robot humanoid daripada sekadar pameran makmal kepada penggunaan seharian.

“Terletak dalam bangunan empat tingkat yang direka seperti gedung runcit masa depan, Robot Mall menghimpunkan lebih 50 model daripada 40 pengeluar, termasuk nama besar seperti Unitree Robotics dan UBTech,” katanya kepada media China.

Tambahnya, pengunjung juga boleh ‘menguji kerja’ robot daripada jenis pembantu servis pelanggan, bartender, pembantu farmasi hingga ke android yang bermain catur, bola sepak mini dan persembahan muzik di restoran bertema.

Gedung ini bukan sekadar bilik pameran; ia menjadi tapak ujian hidup untuk menunjukkan aplikasi robot dalam hospitaliti, runcit, logistik dan pendidikan.

Orang ramai boleh melihat pelbagai jenis robot di Robot Mall, mengujinya dan seterusnya membeli robot-robot yang ditawarkan di situ.

Di salah satu tingkat, pengunjung juga boleh menyaksikan demonstrasi robot berkaki dua yang berlari di trek mini, menyusun atur barang atau menghidang minuman di bar.

“Momen-momen ini sengaja dipersembahkan untuk mengikis pandangan skeptikal bahawa humanoid benar-benar praktikal. Robot Mall menjawab dengan pengalaman hands-on dan staf teknikal yang menerangkan had serta keupayaan sebenar setiap model,” ujar Yifan.

Katanya lagi, dari segi harga, tawaran di Robot Mall melibatkan pelbagai lapisan harga: ada peranti kecil kategori ‘gajet’ sekitar 2,000 yuan (kira-kira RM1,175) untuk kegunaan rumah atau pendidikan dan ada juga sistem humanoid canggih bernilai jutaan ringgit untuk aplikasi industri, penyelidikan atau pementasan interaktif.

Strategi harga ini menampakkan dua segmen pasaran yang ingin dicapai iaitu pengguna awal yang mahukan percubaan praktikal dan perusahaan yang mencari automasi fleksibel berskala manusia.

Model seperti Unitree G1 yang lincah dan UBTech Walker S sering menjadi bahan demo utama kerana mempamerkan pergerakan berjalan, mengimbangi badan dan menjalankan tugas yang semakin matang.

Di sebalik pandangan negatif, objektif Robot Mall adalah berfokus kepada nilai komersial. Banyak syarikat robotik di China lahir daripada makmal universiti dan belum berpengalaman dalam jualan, perkhidmatan selepas jualan dan sokongan alat ganti.

Dengan format 4S, pengeluar boleh mengumpul data penggunaan dunia sebenar berhubung apa yang pelanggan mahukan, tempat robot lazim tergendala dan bagaimana perisian perlu ditala secara lebih cepat.

Pihak pengurusan menyatakan gedung ini sebagai ‘kedai sehenti’ untuk memadankan pembeli dengan demo langsung dan pakej servis, sambil membuka ruang pementasan tetap robot yang sebelum ini sukar diperoleh.

Masa pelancaran juga bijak. Beijing ketika ini menjadi tuan rumah acara robotik bertaraf dunia, termasuk World Robot Conference dan World Humanoid Robot Games yang menonjolkan perlumbaan, permainan bola sepak dan tinju robot.Ia merupakan satu ekosistem acara yang meningkatkan keterlihatan Robot Mall serta memupuk penerimaan awam.
sinergi antara pameran industri dan runcit harian memberi isyarat bahawa China mahu memimpin gelombang humanoid, disokong dana dan dasar yang agresif untuk kecerdasan buatan (AI) serta automasi.

Yifan turut memberitahu pengalaman pelanggan di Robot Mall itu sendiri menjadi antara faktor utama daya tarikannya.

Ramai pengunjung datang dengan rasa ingin tahu, tetapi pulang dengan perasaan kagum bercampur teruja.

“Ada yang meluangkan masa berbual dengan robot resepsi yang mampu mengenal suara dan wajah, lengkap dengan jawapan bersahaja dalam beberapa bahasa.

“Kanak-kanak pula ketawa gembira ketika robot berkaki empat berlari mengejar bola, sementara pelajar universiti memerhati teliti mekanisme tangan mekanikal yang boleh melukis potret secara langsung,” kongsinya.

Katanya lagi, bagi pembeli serius, staf menyediakan sesi ‘uji kerja’ di ruang simulasi, membolehkan pelanggan mengendalikan robot dalam senario seperti membantu pelanggan kedai, mengangkat barang, atau menyusun stok di rak.

Restoran bertema robot juga menambah nilai pengalaman, membolehkan pelanggan makan dengan ditemani pelayan automatik yang menghantar hidangan ke meja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN