MAJLIS Amanat Perdana Perkhidmatan Awam kali ke-20 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu ada memberi senyuman kepada penjawat awam.
Ketika mengumumkan beberapa insentif kepada penjawat awam, Anwar telah mengatakan pada Oktober nanti akan ada lebih banyak ‘berita gembira’ yang bakal diumumkan kelak.
Rakyat dan penjawat awam sama-sama menaruh harapan agar insentif baharu yang bakal diumumkan benar-benar mampu meringankan beban kehidupan seharian.
Bagi rakyat kebanyakan, isu utama masih berkisar kepada kos sara hidup. Harga barangan asas, bahan api dan perkhidmatan terus memberi kesan besar kepada isi rumah. Justeru, mereka menunggu pengumuman Oktober ketika Belanjawan 2026 sebagai detik untuk melihat kerajaan lebih proaktif dalam mengawal kos sara hidup.
Bagi penjawat awam pula, pengumuman itu dianggap peluang untuk kerajaan memberi pengiktirafan lebih besar terhadap peranan mereka sebagai nadi pentadbiran negara. Mereka mahu mendengar insentif baharu yang bukan sahaja memberi manfaat kewangan, tetapi juga membuka ruang peningkatan kerjaya.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan pada November 2022, Perdana Menteri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk rakyat.
Pada tahun ini, kerajaan meningkatkan jumlah keseluruhan bantuan tunai rakyat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.
Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan bantuan tunai tambahan RM100 melalui program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bermula 31 Ogos lalu, melibatkan jutaan rakyat dewasa.
Walaupun ia hanya bantuan one off ia menunjukkan tidak ada kelas masyarakat yang ketinggalan, semua golongan dapat merasa bantuan kerajaan itu.
Satu lagi langkah yang disambut baik ialah pengurangan harga RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter. Walaupun penurunan enam sen, ia tetap memberi kesan positif.
Kerajaan memperkenalkan Hadiah Pengiktirafan Akademik dengan peruntukan RM75.7 juta, memberi manfaat kepada lebih 90,000 kakitangan yang melanjutkan pelajaran.
Ganjaran yang diberikan mengikut tahap akademik, RM1,250 bagi doktor falsafah, RM1,000 (sarjana), RM750 (ijazah sarjana muda) dan RM500 (diploma) ia adalah bentuk penghargaan nyata terhadap usaha meningkatkan kompetensi diri.
Kerajaan juga memperuntukkan RM25 bilion untuk membangunkan Malaysia sebagai hab semikonduktor global, serta RM1 bilion bagi memperkasa usahawan Bumiputera.
Segala insentif ini memberi gambaran jelas bahawa kepimpinan Anwar telah berusaha menyeimbangkan antara bantuan segera rakyat dengan perancangan besar membangunkan ekonomi berdaya saing.
Namun begitu, rakyat tetap menunggu apa lagi yang mereka akan dapat pada Belanjawan 2026.
Malah harapan ‘orang luar’ pula dengan banyak insentif diberikan oleh kerajaan kepada mereka, tidak akan ada lagi isu rasuah yang menjadi pengkhianat negara.
Semua mengharapkan pengumuman pada Oktober itu harus menjadi isyarat bahawa kerajaan serius mendengar suara rakyat dan menghargai jasa penjawat awam.
Semoga pengumuman itu kelak mengukir senyuman rakyat dan menyatukan harapan mereka kepada pemerintahan masa kini. -KOSMO! ONLINE















