Sering kali kita mendengar laporan di media-media sosial pada hari ini mengenai haiwan peliharaan yang dibuang tuannya di lokasi-lokasi tertentu.
Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan turut menyusahkan masyarakat setempat yang mungkin terjejas akibat daripada perbuatan tersebut.
Haiwan-haiwan peliharaan ini dibuang di mana-mana sahaja oleh tuannya, namun yang paling popular sudah tentulah di kawasan berhampiran restoran ataupun tapak pasar setempat.
Mungkin apa yang bermain di fikiran tuan haiwan peliharaan ini adalah lokasi-lokasi itu adalah ideal kerana banyak sumber makanan bagi kucing ataupun anjing yang dibuang itu.
Hakikatnya, tidak semua restoran mahupun pasar akan memberi makanan kepada haiwan-haiwan peliharaan tersebut dan tentu sekali mentaliti berkenaan harus dikikis daripada diri tuan haiwan itu.
Satu daripada masalah yang turut akan timbul adalah haiwan-haiwan peliharaan ini berkemungkinan akan membiak kerana tidak semua kucing atau anjing yang dibuang ini telah dimandulkan.
Ia tidak termasuk lagi dengan anjing dan kucing liar yang sememangnya telah membiak dengan banyaknya di jalanan.
Bagi situasi di Perak sahaja, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sehingga April lalu, rekod daripada 15 pihak berkuasa tempatan menunjukkan bahawa sebanyak 1,421 aduan telah diterima berkaitan anjing terbiar.
Sepanjang tempoh tersebut, katanya, 538 operasi telah dijalankan yang melibatkan 2,171 tangkapan anjing.
“Angka-angka ini adalah cerminan betapa seriusnya isu ini dan mendorong kita untuk mewujudkan pendekatan yang seimbang, berkesan dan insani.
“Pilihan untuk memandulkan haiwan peliharaan dilaksanakan kerana ia adalah langkah paling berkesan untuk menyelesaikan punca masalah,” katanya.
Bukan itu sahaja, Sandrea berkata, menurut data daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan haiwan, seekor kucing yang tidak dimandulkan bersama keturunannya mampu membiak sehingga lebih 11,000 ekor dalam tempoh lima tahun sahaja.
Angka ini menggambarkan betapa pantas populasi haiwan itu boleh meningkat jika langkah pencegahan tidak diambil.
Sehubungan itu, Sandrea berkata, menerusi Program Perak Pawsitive Initiative, pihaknya mengambil langkah-langkah konkrit bagi mengatasi itu berkenaan.
Langkah-langkah itu, ujarnya, ialah subsidi pemandulan untuk mengawal populasi dari sumbernya, kempen kesedaran dan pendidikan komuniti mengenai tanggungjawab pemilik dan menjalin kerjasama rentas agensi dan NGO untuk tindakan lebih bersepadu.
Sementara itu, Presiden NGO Geraguk, Khairil Azhar Khairuddin berkata, pihaknya menyokong usaha tersebut dan menegaskan pelaksanaannya perlu melibatkan semua pihak baik kerajaan negeri,
NGO dan aktivis haiwan jalanan serta rakyat kerana ia merupakan tangungjawab bersama.
“Ia antara langkah paling segera dalam mengawal lambakan haiwan berkenaan. Pemilik haiwan peliharaan yang tidak melakukannya turut merupakan penyumbang utama masalah lambakan ini berlaku.
“Dengan usaha pemandulan ini, lambakan haiwan ini dapat dikurangkan dan ia adalah jalan penyelesaian yang terbaik dan lebih berperikemanusiaan berbanding pelupusan mereka,” katanya.














