SUNGAI PETANI – Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri tabung beberapa masjid sekitar daerah ini selepas berjaya menahan tiga lelaki di Sungai Lalang dekat sini petang Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda,Asisten Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga lelaki berusia 20-an itu ditahan pada pukul 2.30 petang hari sama mereka memecah masuk sebuah masjid di Sungai Lalang dan berjaya melarikan sebuah peti besi mengandungi wang tunai sebanyak RM1,200.
“Hasil maklumat dan berpandukan televisyen litar tertutup (CCTV) masjid,kita kemudian berjaya menjejaki kumpulan itu di sebuah motel itu yang dijadikan tempat berkumpul selepas melakukan kegiatan jahat mereka.
“Siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek kemudiannya membawa pihak kita ke satu lokasi semak di lorong belakang satu kawasan perumahan juga di Sungai Lalang sebelum menemui peti besi milik masjid yang dibuang di situ,” katanya.
Menurut Hanyan, pihak polis kemudian merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal yang disyaki digunakan kumpulan itu ketika melakukan pecah masuk ke beberapa buah masjid sekitar daerah ini.
Katanya, hasil semakan mendapati modus operandi yang digunakan ialah seorang suspek menunggang motosikal untuk meninjau keadaan masjid di awal pagi selepas jemaah selesai menunaikan solat subuh sebelum dua daripada mereka melarikan peti besi menggunakan kereta.
“Ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kini dalam tahanan reman untuk membantu kes yang dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














