SINGAPURA – Seekor ular sawa yang dilihat di sebuah kedai kopi di Teck Whye Lane, Singapura cuba menyerang orang awam ketika mereka menangkapnya dengan menggunakan penyapu, lapor portal berita asiaone hari ini.
Dalam rakaman video kejadian di laman Instagram Sgfollowsall, seekor ular sawa besar kelihatan di atas bumbung sebuah kedai kopi di Blok 145 Teck Whye Lane sambil diperhatikan oleh orang ramai.
Seorang lelaki dilihat berdiri di atas kerusi sambil cuba merakam ular tersebut.
Tidak lama kemudian, ular sawa itu terjatuh dari bumbung dan mula bergerak.
Beberapa lelaki mengejarnya sambil memukulnya dengan penyapu.
Ular itu kemudian cuba menyerang mereka, menyebabkan orang ramai menjerit.
Kejadian itu berakhir apabila seorang lelaki pertengahan usia memegang kepala ular sawa itu dan memasukkannya ke dalam guni.
Sebilangan netizen mengkritik tindakan beberapa lelaki yang mengambil tindakan sendiri itu manakala yang lain memuji usaha mereka untuk melindungi orang awam di lokasi kejadian.
Seorang netizen memberi komen: “Bagaimana mereka boleh memukul ular sawa itu dengan penyapu?.” – AGENSI