MUAR – Lima individu termasuk seorang wanita dicekup pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan polis selepas bilik hotel yang sebagai tempat untuk melempiaskan nafsu dan mengambil dadah diserbu hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, penguat kuasa JAINJ mendapati empat lelaki termasuk seorang duda dipercayai baru selesai ‘mengerjakan’ wanita yang didakwa masih bujang.
Menurut jurucakap JAINJ, ketika serbuan, anggota penguat kuasa mendapati terdapat individu dalam bilik tersebut, namun mereka enggan membuka pintu.
Katanya, pihaknya terhidu bau seperti kertas dibakar selain gam dari dalam bilik tersebut.
“Disebabkan mereka enggan bekerjasama, pihak JAINJ menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar. Lima anggota polis tiba dan pemeriksaan di dalamnya menemui empat lelaki berusia 29 hingga 48 tahun dan wanita berusia 34 tahun.
“Pemeriksaan mendapati tiga lelaki berstatus bujang dan seorang duda, manakala wanita itu bujang. Ketika diserbu mereka dalam keadaan terpinga-pinga,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, bilik tersebut disyaki disewa untuk mengambil dadah dan melakukan maksiat. JAINJ menahan mereka atas kesalahan khalwat, manakala polis pula berkaitan kes dadah.
Semakan polis mendapati, suspek mempunyai rekod kes dadah. Mereka ditahan di lokap IPD Muar. Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997. katanya. – KOSMO! ONLINE














