BATU PAHAT – Seorang peniaga didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng di sini hari ini selepas didapati bersalah menumbuk mulut seorang lelaki hingga berdarah selepas berang ditegur kerana tidak menjaga kebersihan, Sabtu lalu.
Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, SM Yusoff Othman, 56, selepas mengambil kira pengakuan bersalah, hujahan dan rayuan kedua-dua pihak.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda dikenakan terhadapnya. Tertuduh membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap lelaki berusia 31 tahun dengan menumbuk mulut di Taman Putera Indah, Tongkang Pechah, 5 petang, 9 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa menegur tertuduh supaya tidak membuat sepah dan menjaga kebersihan namun teguran itu mengundang kemarahannya.
Berlaku perselisihan antara mereka dan kemuncaknya apabila tertuduh menumbuk mulut hingga berdarah. Malah, kejadian itu turut disaksikan abang ipar tertuduh sebelum membuat laporan polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-KOSMO! ONLINE














