ISU buli terutama dalam kalangan pelajar sama ada di sekolah harian atau asrama mahupun institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat semakin membimbangkan.
Meskipun gejala buli ini bukanlah suatu perkara yang baharu, namun masalah moral tersebut dilihat seakan-akan tidak pernah surut.
Malah, ia semakin menjadi-jadi seperti tiada yang mengambil pengajaran daripada kes-kes terdahulu.
Seperti baru-baru ini, negara digemparkan dengan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Mangsa didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama kira-kira pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah.
Kes Zara Qairina menerima perhatian meluas selepas didakwa mempunyai kaitan dengan buli dalam kalangan pelajar.
Tidak selesai di situ, enam lagi pelajar sebuah Sekolah Menengah Agama bantuan kerajaan di Chukai, Kemaman pula direman tiga hari berhubung kes pukul dan buli terhadap seorang pelajar lelaki pada 30 Julai lalu.
Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kejadian dibuli di asrama berlaku kerana gabungan faktor persekitaran, psikologi dan sosial.
Menurutnya, terdapat budaya ‘senior-junior’ di asrama yang sering disalahgunakan iaitu apabila pelajar senior mungkin rasa berhak mengajar pelajar junior melalui cara kasar dan memalukan.
“Pelajar baharu selalunya masih cuba menyesuaikan diri. Individu yang nampak lemah, pendiam atau lain daripada biasa sering menjadi sasaran mudah.
“Ada yang buli untuk tunjukkan dia kuat supaya tidak dibuli oleh orang lain dan ada yang ikut membuli kerana takut diketepikan atau dibuli balik jika tak ikut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Siti Fatimah berkata, kekurangan pengawasan dan kawalan mendedahkan kawasan gelap di asrama menjadi tempat buli.
Katanya, buli di asrama tidak bermula terus dengan keganasan, sebaliknya berkembang secara berperingkat.
Ujarnya, peringkat awal bermula dengan gurauan kasar seperti ejekan sebelum beralih kepada tekanan sosial dan menyuruh mangsa melakukan kerja berulang kali.
“Pelaku kemudian akan melakukan ugutan kepada mangsa untuk tidak melaporkan perkara berkenaan menyebabkan mangsa rasa terperangkap.
“Keganasan serius atau berterusan boleh mengakibatkan kecederaan fizikal yang nyata selain trauma emosi yang mendalam kepada mangsa,” ujarnya.
Beliau berkata, setiap peringkat mempunyai ‘titik hentian’ yang boleh dihentikan sebelum sampai pada tahap bahaya melalui pencegahan awal.
Justeru katanya, kunci memupuk budaya cegah buli di asrama adalah dengan mengubah norma sosial supaya pelajar melihat buli sebagai perbuatan yang memalukan, bukan ‘tradisi’ atau hak senior.















