JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang mengkaji penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu pilihan berpotensi membekalkan elektrik yang bersih, stabil dan berdaya saing dalam campuran tenaga negara, pada masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian itu dibuat susulan pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
“Usaha ini juga selaras dengan komitmen negara terhadap perubahan iklim serta peningkatan permintaan tenaga domestik,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan ke-12 Rangkaian Badan Kawal Selia Tenaga Atom ASEAN (ASEANTOM) di Hotel Renaissance, di sini hari ini.
Tambah Fadillah, fokus utama kerajaan adalah memastikan sebarang keputusan berkaitan tenaga nuklear dibuat berasaskan analisis teknikal menyeluruh, selaras dengan keutamaan pembangunan negara.
“Malaysia juga menegaskan komitmen terhadap Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dimana kami menggesa negara bersenjata nuklear menandatangani protokol itu dengan segera,” ujarnya.
Sementara itu, Mesyuarat ASEANTOM Ke-12 yang dianjurkan Jabatan Tenaga Atom selama lima hari bermula hari ini menghimpunkan wakil badan pengawal selia tenaga atom daripada 10 negara anggota ASEAN.
Ia turut dihadiri rakan kerjasama dialog dari Jepun, Korea Selatan dan organisasi antarabangsa termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). – KOSMO! ONLINE