JOHOR BAHRU – Lantikan kontrak yang membantutkan kestabilan dan pembangunan kerjaya merupakan antara faktor doktor tempatan memilih Singapura untuk menabur bakti di samping mendapat upah lumayan dan jaminan masa depan lebih baik.
Konsultan Bebas Psikologi Organisasi, Dr. Alizi Alias berkata, ia diperoleh melalui Laporan Malaysian Medical Association (2025) yang menegaskan sistem kontrak doktor awam perlu dimansuhkan.
Katanya, keadaan itu melemahkan motivasi jangka panjang dan mendorong sesetengah doktor mencari peluang yang lebih stabil atau lebih menguntungkan.
“Walaupun tidak dinyatakan secara langsung bahawa ia mengakibatkan penghijrahan ke sektor swasta atau luar negara, faktor ini berpotensi menjadi pendorong kepada peralihan tersebut.
“Selain itu, beban kerja berlebihan, tekanan emosi berpanjangan, dan sokongan organisasi yang terhad merupakan faktor penyumbang kepada pegawai perubatan memilih untuk undur daripada bertugas di hospital awam,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai kebanyakan doktor dan jururawat memilih Singapura untuk bekerja dan meluaskan kerjaya bukan hanya disebabkan oleh faktor gaji lumayan, malah mendambakan kehidupan berkualiti sebagai petugas kesihatan.
Mereka mendakwa, selain gaji tinggi dan peluang naik pangkat, mereka mendapat cuti kelahiran, cuti hari raya selama dua minggu dan suasana kerja yang tidak terlampau stres.
Menurut Dr. Alizi, kajian pada 2021 juga mendapati lebih separuh petugas kesihatan Malaysia mengalami burnout semasa pandemik Covid-19, khususnya dalam bentuk keletihan emosi.
“Burnout (keletihan fizikal, emosi dan mental) yang berlarutan meningkatkan kecenderungan untuk meninggalkan perkhidmatan lebih awal,” katanya.
Tambahnya, tekanan terhadap kapasiti kerja dan kesejahteraan psikologi petugas turut menjadi faktor ramai staf kesihatan berhenti awal atau mencari tempat kerja yang lebih baik.
Ujarnya, menurut Data Health Facts 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan nisbah doktor kepada populasi ialah 1:412, hampir mencapai sasaran nasional iaitu 1:400.
Namun, pertumbuhan populasi warga emas dan peningkatan penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi telah meningkatkan jumlah pesakit, sedangkan kadar pengambilan tenaga kerja tidak berkembang pada kadar yang sama.
“Situasi ini menimbulkan tekanan terhadap kapasiti kerja dan kesejahteraan psikologi petugas,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Alizi memberitahu, kesedaran organisasi terhadap isu kesejahteraan mental dan fizikal pekerja perlu dilaksanakan bagi memastikan isu kekurangan jururawat dan doktor dapat diatasi.
“Buat audit kesejahteraan berkala untuk membantu mengesan awal tanda burnout dan menyokong intervensi pencegahan,” katanya.














