GEORGE TOWN – Maritim Malaysia Pulau Pinang menyerahkan enam kru warga Indonesia yang hanyut di perairan negara pada Julai lalu kepada Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Pulau Pinang, hari ini.
Penyerahan dibuat di Limbongan Batu Maung Sdn. Bhd. pada pukul 11 pagi tadi oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain, Pegawai Memerintah KM Semilang, Leftenan Komander Maritim Mahadi Ismail kepada wakil KJRI, Leftenan Komander Tentera Nasional Indonesia (TNI) Fuad Hilmi.
Mohd. Hashim berkata, semua kru berusia 17 hingga 52 tahun itu diselamatkan selepas KM Burau mengesan sebuah vesel nelayan asing (VNA) berada dalam kawasan perairan negara ketika operasi penguatkuasaan.
”Hasil siasatan mendapati vesel berkenaan mengalami kerosakan akibat cuaca buruk sebelum dihanyutkan arus ke perairan Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, penyerahan itu dilakukan sebagai menghormati hubungan diplomatik sedia terjalin antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Fuad Hilmi merakamkan penghargaan kepada Maritim Malaysia atas kerjasama dan tindakan profesional mengendalikan kejadian tersebut.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) demi menyelamatkan nyawa mangsa insiden di laut. -KOSMO! ONLINE