fbpx
Kemajuan yang dicapai Singapura membuatkan anak tempatan Malaysia berlumba-lumba memilih bekerja di Kota Singa untuk mendapatkan gaji lumayan. – Gambar hiasan

Duit banyak, hati senang jadi doktor di Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Kebanyakan doktor dan jururawat memilih Si­ngapura untuk bekerja dan me­luaskan kerjaya bukan hanya disebabkan oleh faktor gaji luma­yan, malah mendambakan kehi­dupan berkualiti sebagai petugas kesihatan.

Mereka mendakwa, selain gaji tinggi dan peluang naik pangkat, mereka mendapat cuti kelahiran, cuti hari raya selama dua minggu dan suasana kerja yang tidak ter­lam­pau stres.

Seorang doktor di sebuah hospital di Singapura, Dr. Nurul Ain Ibrahim berkata, imbuhan se­timpal dan lumayan merupakan an­tara faktor utama mengapa ra­mai tenaga kerja mahir dalam sek­tor kesihatan memilih untuk bekerja di Seberang Tambak.

Katanya, imbuhan yang tinggi bukan sahaja ditawarkan oleh hospital swasta, malah mereka mendapat peluang yang sama jika bertugas di fasiliti milik kerajaan.

“Ketika mula bekerja pada 2015 sebagai doktor pelatih, ga­ji saya mencecah SGD$6,098 (RM20,000) sebulan.

“Selepas 10 tahun, saya bertambah seronok apabila penat lelah berhempas pula belajar da­lam bidang perubatan telah menyebabkan saya mendapat gaji SGD13,115 (RM43,000) sebulan,” katanya kepada Kosmo!.

Jururawat kanan hospital swasta, Rohana Ismail mengakui selain gaji banyak, kelebihan pe­luang meningkatkan kerjaya antara alasan dia memilih be­kerja di Singapura.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia mula berkelana di ­Si­ngapura selepas bekerja selama enam tahun di sebuah hospital di Pahang.

“Saya merancang mahu ke Arab Saudi tetapi ditawarkan bekerja di Singapura pada 2011. Sehingga kini gaji saya sudah me­ncecah lima angka.

“Kebajikan dan kelebihan pula banyak antaranya dapat cuti hari kelahiran dan dua minggu cuti ha­ri raya. Saya seronok bekerja di Singapura,” katanya.

Doktor pelatih, Dr. Siti Nabihah berkata, dia ke Singapura kerana peluang yang lebih luas untuk meneroka menjadi pakar.

“Singapura negara maju. Jadi dari segi pendedahan kepada teknologi terkini saya dapat banyak pengalaman dan ilmu selari dengan sistem kesihatan bertaraf dunia.

“Mereka juga menitik beratkan kepentingan pendidikan, ini memberi ruang untuk saya menyumbang serta terus belajar dalam persekitaran yang sangat dinamik dan berdaya saing,” katanya.

Menurut Siti Nabihah, selain itu dia ingin mencabar diri untuk keluar dari zon selesa dan mencuba sesuatu yang baharu demi kemajuan kerjaya dan pemba­ngunan peribadi.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM dilaporkan direkodkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara 2020 hingga tahun lalu.

Ia melibatkan 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak, 1,856 (pegawai perubatan tetap), 3,846 (pegawai perubatan kontrak) dan 1,217 pakar perubatan.

Salah satu puncanya ialah mereka beralih ke sektor swasta termasuk berhijrah ke Singapura.

Gaji doktor pelatih di Singapura anggaran bermula SGD$5,000 (RM16,495) manakala gaji permulaan jururawat pula SGD$4,400 (RM14,432).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN