fbpx
Gambar hiasan

Kematian wanita dengan 80 peratus kesan lecur tiada unsur jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian melibatkan seorang wanita yang ditemui dengan kesan melecur 80 peratus berhampiran sebuah pusat beli-belah di Klebang, Chemor di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, seorang saksi bebas berada di lokasi kejadian dan melihat mangsa mencurahkan petrol ke tubuh sebelum membakar diri.

“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif tindakan wanita yang berasal dari Ipoh itu. Berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa menetap di Kuala Lumpur dan mereka tidak mengetahui kehadirannya di sini.

“Kita juga akan menyiasat sama ada mangsa mempunyai rekod masalah mental. Setakat ini, kematian mangsa tidak melibatkan sebarang perlakuan jenayah,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pesara-pesara Polis Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Chemor, di sini hari ini.

Zaihairul (kiri) menyampaikan sumbangan kepada pesara-pesara polis sempena Sambutan Hari Pahlawan 2025 di Dewan Perpaduan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Chemor, di Ipoh hari ini. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

Dalam majlis anjuran KRT Pekan Chemor itu, seramai 30 pesara polis menerima bantuan berupa kotak barangan asas yang disampaikan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risik/Operasi) Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Siasatan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI