PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka melanda beberapa kawasan di seluruh negara sehingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran itu melibatkan negeri-negeri di Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Antara kawasan terlibat ialah Kedah (Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang (Seberang Perai Tengah) serta Perak (Batang Padang dan Muallim).
Kelantan pula membabitkan daerah Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, manakala di Terengganu meliputi Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Beberapa daerah di Pahang seperti Jerantut, Temerloh, Maran, Kuantan dan Pekan turut terjejas, selain kawasan di Selangor termasuk Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
Cuaca buruk itu turut melanda Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
Sementara itu, di Sarawak, kawasan terlibat ialah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song dan Kapit), Bintulu serta Miri (Subis).
Di Sabah, hujan lebat dan ribut petir dijangka melanda Telupid, Beluran dan Sandakan. – KOSMO! ONLINE