NARATHIWAT, THAILAND – Selepas ditahan hampir sembilan bulan, penyanyi Bae Sobar Bae, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakannya akhirnya dibebaskan sepenuhnya dari tahanan Penjara Pusat Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Pembebasan mereka dibuat selepas mahkamah menolak permohonan pendakwa raya untuk menyambung tempoh mengemukakan rayuan buat kali keenam.
Tahanan reman kali kelima terhadap Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dengan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama Eridie ka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, berakhir semalam.
Mahkamah sebelum ini membenarkan permohonan pertama daripada pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh reman enam rakyat Malaysia itu bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos).
Kosmo! pada 6 Mac lalu melaporkan Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakannya dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat, di sini atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda pada 1 November lalu.
Kesemua mereka bagaimanapun dihukum penjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.
Keputusan itu dibuat panel dua hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan semasa tiga hari prosiding perbicaraan kes tersebut bulan lalu.
Hakim ketika berhujah berkata, tiada bukti boleh dikaitkan dengan pemilikan 6,059 biji pil kuda itu dengan keenam-enam tertuduh selain rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sebuah hotel di Sungai Golok di sini juga tidak menunjukkan mereka membawa masuk dadah dalam bilik.
Sementara itu, Wan Ismail Wan Yusuf, 52, berkata, pembebasan Eda Ezrin menamatkan penantian selama sembilan bulan keluarga untuk melihat anaknya pulang ke pangkuan keluarga.
“Saya hanya mengetahui berita pembebasan itu pada pukul 2.20 petang selepas dimaklumkan oleh pemberita.
“Ketika ini saya dan keluarga sedang menunggu maklumat lanjut berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa Thailand,” katanya.
Wan Yusoff memberitahu, dia akan membuat kenduri kecil-kecilan sebagai tanda syukur.
Katanya, pada masa sama dia belum memaklumkan khabar gembira itu kepada dua cucu yang merupakan anak kepada Eda Ezrin.














