fbpx
HADIF banyak menghabiskan masa terluangnya di rumah di Puncak Alam, Selangor dengan memasak di dapur.

Remaja lelaki 13 tahun rajin ke dapur masak untuk keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA rakan sebayanya leka bermain permainan video atau media sosial, Muhammad Hadif Zharfan Mohd. Zulhilmi lebih senang menghabiskan masa di dapur.

Baru berusia 13 tahun, minat remaja itu terhadap dunia masakan bukan sekadar hobi santai. Ia adalah minat yang tumbuh sejak kecil, hasil pemerhatian dan curi-curi belajar daripada ibunya di dapur.

Kini, dia sudah mampu menyediakan pelbagai hidangan sendiri daripada nasi goreng sehinggalah kek keju yang digemari oleh seluruh ahli keluarga.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Puncak Alam, Selangor itu berkata, minat terhadap memasak timbul sejak berusia 10 tahun apabila dia sering melihat ibunya memasak di dapur.

“Dari situlah timbul rasa ingin mencuba. Saya mula membantu ibu dengan tugas-tugas mudah seperti memotong bawang dan menumbuk sambal belacan.

“Sejak hari itu, saya memberanikan diri menggoreng telur dan belajar memasak nasi sendiri.

“Mungkin juga disebabkan faktor saya memang kuat makan,” katanya.

Dia yang mesra disapa Hadif berkongsi masakan pertama yang dihasilkannya iaitu nasi goreng sewaktu berusia 11 tahun.

“Ia bermula secara random, apabila perut saya terasa lapar. Jadi, saya terus meminta izin ayah untuk menghasilkan menu nasi goreng telur.

“Saya tak sangka apabila ayah dan ibu memuji hasil masakan saya. Sejak itu, semangat saya untuk terus belajar memasak semakin membara,” katanya.

Menu kegemaran Hadif pula adalah burnt cheesecake kerana mudah untuk disediakan dan sajian yang cukup digemari oleh adik-adiknya.

Ibu menjadi inspirasi Hadif dalam dunia masakan kerana insan itu yang mendedahkannya dengan pelbagai ilmu masakan. Misalnya, pemilihan bahan, bagaimana menentukan rasa sehinggalah teknik memasak yang betul.

Selain itu, Hadif juga suka menonton video masakan di internet terutamanya daripada pempengaruh terkenal, Khairul Aming untuk menambah ilmu dan mendapatkan idea baharu dalam menyediakan makanan yang enak.

Memandangkan masih bergelar pelajar, Hadif berkata, dia akan mencuri masa pada hujung minggu atau selepas pulang dari sekolah untuk membantu ibunya di dapur.

Baginya, memasak bukan sekadar hobi, tetapi salah satu aktiviti yang memberikan kepuasan dan kegembiraan.

Ditanya adakah dia berminat bekerja sebagai cef atau membuka restoran sendiri pada suatu hari nanti? Hadif berkata, pada usia masih terlalu muda, dia belum terfikir ke arah itu.

“Buat masa ini, saya melihat memasak sebagai hobi dan satu kegembiraan dalam hidup saya.

“Namun begitu, saya juga terbuka untuk menjadikan bidang ini sebagai kerjaya pada masa hadapan, sekiranya ada rezeki dan peluang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN