fbpx
Harga barangan yang dijual menggunakan sen tidak genap akan menyebabkan ia dibundarkan ketika hendak membuat pembayaran.

Hapuskan sistem bundar, tak relevan lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sistem peng­genapan atau bundarkan kepada lima sen terdekat yang dilaksanakan sejak 2008 perlu dikaji semula kerana ia merugikan pengguna dan menguntungkan peniaga ketika semua pihak kini beralih kepada pembayaran online.

Cadangan itu ternyata ber-asas kerana ketika ini pengguna mempunyai pelbagai kaedah transaksi seperti e-Wallet, imbas QR kod atau paywave yang boleh membayar dengan jumlah yang tepat tanpa perlu dibundarkan.

Seorang pengguna, Noor Kasmara Sukarmor berkata, kaedah pembundaran memberi keuntu­ngan senyap kepada peniaga sejak sekian lama dan sudah sampai masa ia dihentikan.

“Semua orang sudah beralih kepada online ketika ini yang membolehkan pengguna membayar amaun tepat pembelian tanpa melibatkan wang tunai.

“Tidak perlu lagi rounding ­adjustments (penggenapan). Ke­ra­jaan perlu cakna isu ini dan pasar raya perlu tahu hanya yang bayar tunai sahaja perlu kepada sistem tersebut,” katanya.

Kelmarin Kosmo! Online me­laporkan me­ngenai rungutan seorang peng­guna yang mempersoalkan kaedah tersebut kerana mendakwa pembayaran tepat boleh dilakukan secara online.

Menerusi perkongsian itu, jum­lah yang dikenakan ialah RM12.03 tetapi dia perlu membayar RM12.05.

Nurakmal pula berkata, caj sen-sen yang dikenakan sebelum ini memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga.

“Jika guna fund transfer (pe­min­dahan terus) tak perlu ­roun­ding (bundarkan amaun).

“Tetapi ada sesetengah kedai buat macam itu termasuklah kedai serbaneka. Kalau pengguna bayar pakai tunai, itu lainlah cerita, mungkin boleh guna sistem lama,” katanya.

Sistem penggenapan diper­kenalkan menggunakan meka­nisme penggenapan kepada 5 sen terdekat dalam urusan pembayaran di semua kaunter.

Langkah itu bagi memudahkan pengguna selepas syiling 1 sen secara rasmi dihentikan pe­­ngeluarannya pada 2005, ma­­nakala penggunaannya dihentikan secara berperingkat bermula 1 April 2008 oleh Bank Negara.

Sementara itu, Pakar Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, sistem tersebut tidak lagi relevan dengan teknologi masa kini.

“Kita berada dalam era digital dan sudah jarang menggunakan wang tunai. Ramai yang sudah meng­gunakan e-Wallet atau pa­ling tidak pun QR kod.

“Jadi tidak ada masalah untuk pengguna atau pelanggan membayar amaun yang sepenuhnya (amaun tepat) pada pembelian mereka. Tidak perlu pun menggenapkan angka dalam pembayaran itu,” katanya.

Menurut Barjoyai, sekiranya pelaksanaan sistem itu masih di­perlukan, angka lebihan pembayaran yang menggunakan sis­tem penggenapan itu perlu disalurkan kepada satu tabung sumbangan bukan kepada peniaga.

“Sebagai contoh kalau pengguna membeli barangan pada harga RM2.08 tetapi digenapkan kepada RM2.10, jadi lebihan 2 sen itu perlu disalurkan kepada tabung sumbangan atau bukannya diambil oleh peniaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN