PETALING JAYA – Cuaca panas luar biasa yang melanda beberapa kawasan di Kedah dan Pahang memaksa orang ramai mencari alternatif untuk mengurangkan bahang, termasuk berkunjung ke kawasan rekreasi air terjun.
Suhu panas mencecah 37 darjah Celsius juga menyebabkan kebanyakan penduduk terpaksa menghidupkan kipas angin dan pendingin hawa sepanjang masa.
Di Kulim, Kedah penduduk mula memenuhi kawasan rekreasi Air Terjun Air Puteh, Junjung untuk menyejukkan badan.
Seorang pengunjung, Mohamad Aliyuddin Wan Mohamad Rizuan, 24, dari Kampung Air Puteh, berkata, dia bersama keluarga telah mengunjungi Air Terjun Air Puteh selama dua hari berturut-turut sejak kelmarin.
“Suhu panas yang melampau ini sangat terasa, terutama waktu tengah hari. Anak-anak saya yang masih kecil pun jadi tidak selesa kalau duduk di rumah.
“Cuaca panas makin terasa, kawasan ini sudah beberapa hari tidak hujan,” katanya.
Hassan Abd. Aziz, 60, dari Taman Kenari turut membawa keluarganya berkelah di air terjun.
“Buka kipas pun tak rasa sejuk, air paip di rumah pun sekarang terasa panas,” katanya.
Di Maran, Pahang, penduduk Kampung Lubuk Paku, Mat Piah Jusoh, 62, berkata, sudah dua malam dia terpaksa tidur bersama tuala basah kerana cuaca terlalu panas.
“Kipas angin terpasang 24 jam, kalau tak letak tuala basah atas dada, memang tak boleh tidur, tengah malam pun berpeluh macam waktu zuhur,” katanya.
Penduduk Felda Jengka 1 di sini, Abdullah Ani, 66, pula berkata, cuaca panas memberi kesan kepada pesakit darah tinggi dan jantung, termasuk dirinya sendiri.
“Saya sudah rasa pening dan letih sepanjang masa, jadi baik duduk dalam rumah, buka pendingin hawa,” katanya.
Asri Mat Piah, 64, dari Kampung Kuala Sentol berkata, bagi mengurangkan bahang panas, dia dan cucu-cucu gemar mandi sungai seperti di Lubuk Yu dan Che Minah Sayang.
Kosmo! semalam melaporkan beberapa kawasan di lima negeri kekal berada pada status gelombang haba tahap satu (jaga-jaga) apabila suhu maksimum antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Panas terik itu antaranya melibatkan selatan Kedah, Selama, (Perak) serta daerah Temerloh, Pekan dan Rompin di Pahang.















