KUALA LUMPUR – Beregu campuran profesional, Jimmy Wong-Lai Pei Jing terpaksa berpuas hati apabila sekadar menjadi naib juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Macau 2025.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di East Asian Games Dome sebentar tadi, pasangan No.127 dunia itu tewas 13-21, 16-21 kepada beregu Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.
Meskipun melakar kejutan dengan menewaskan pilihan keenam dari Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah di separuh akhir semalam, namun Jimmy-Pei Jing gagal mengulangi aksi tersebut.
Justeru, Jimmy-Pei Jing membawa pulang hadiah wang tunai AS$14,060 (RM60,141) berserta pingat selaku naib juara manakala Christiansen-Boje meraih AS$29,230 (RM125,031) dan pingat.
Sebelum ini, gandingan profesional itu sudah pun meraih tiga gelaran naib juara ketika beraksi pada Cabaran Antarabangsa (IC) Vietnam, Siri Antarabangsa (IS) Phuket dan Terbuka St. Denis Reunion. – KOSMO! ONLINE