JEMPOL – Seorang wanita maut apabila kereta yang dipandu suaminya dilanggar sebuah bas yang tiba-tiba masuk ke laluan mereka di KM9, Jalan Bahau-Rompin, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintenden Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah bas jenis Hino dan sebuah kereta jenis Perodua Kenari.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu bas iaitu seorang lelaki berusia 65 tahun bersama lima orang penumpang dari Rompin menghala ke Bahau.
“Setiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu bas telah masuk ke laluan bertentangan dan pada masa yang sama datang kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 64 tahun bersama isterinya dari arah hadapan cuba mengelak ke kanan, namun tidak sempat.
“Seterusnya berlaku perlanggaran di bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan tersebut. Akibat daripada kemalangan itu, penumpang kereta iaitu seorang wanita berusia 61 tahun telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, pihak polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE.