KLANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dipercayai berada sendirian di rumahnya sebelum maut akibat terjatuh dari tingkat 8 rumahnya di Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan KamalAriffin Aman Shah berkata, polis menerima maklumat dari orang awam berhubung kejadian kanak-kanak terjatuh dari bangunan kira-kira pukul 8 pagi tadi.
Katanya, siasatan mendapati semasa kejadian bapa mangsa berada di tempat kerja manakala ibu mangsa telah keluar dari rumah untuk menghantar anak keduanya ke rumah pengasuh.
“Mangsa dipercayai telah terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat lapan flat tersebut.
“Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) namun disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9 pagi ketika menerima rawatan di hospital itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah, hasil bedah siasat mendapati mangsa cedera di bahagian kepala akibat jatuh dari tempat tinggi.
Justeru katanya, polis telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian kanak-kanak.
“Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan tidak melebihi RM50,000.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di kepala selepas terjatuh dari tingkat 8, sebuah flat di Pelabuhan Klang di sini.
Mangsa difahamkan merupakan anak sulung daripada dua beradik itu kemudiannya disahkan meninggal dunia di zon merah HTAR. – KOSMO! ONLINE