TINGGAL lebih kurang dua minggu saja lagi, saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan membuka tirainya untuk musim baharu 2025/2026.
Memandangkan jendela perpindahan masih dibuka, beberapa kelab ketika ini mengambil peluang untuk memantapkan pasukan dengan membawa masuk pemain baharu.
Pada jendela perpindahan musim panas kali ini, penulis mendapati bahawa beberapa kelab besar EPL begitu terdesak untuk membawa masuk pemain di posisi penyerang.
Kelab seperti Liverpool, Arsenal, Manchester United, Chelsea dan Newcastle United berusaha sedaya upaya untuk membawa masuk ‘mesin gol’ baharu ke dalam pasukan masing-masing.
Pada jendela perpindahan kali ini, Chelsea telah berjaya membawa masuk dua penyerang baharu iaitu Joe Pedro dengan harga £60 juta (RM346 juta) dan Lian Delap bernilai £30 juta (RM172.27).
Sementara itu, Arsenal baru saja melengkapkan perpindahan Victor Gyokeres dengan harga £55 juta (RM312 juta). Liverpool pula berjaya membawa masuk penyerang prolifik, Hugo Eketike dengan harga sekitar £82 juta (RM466.36 juta).
The Reds juga dijangka membawa seorang lagi pemain di posisi No. 9 iaitu Alexander Isak dari Newcastle United dengan harga sekitar £150 juta (RM864 juta).
Sementara itu, beberapa lagi kelab EPL seperti Newcastle United dan Manchester United sedang memburu penyerang dari RB Leipzig, Benjamin Šeško yang dianggarkan bernilai £70 juta (RM395 juta) ke atas.
Apakah faktor yang menyebabkan kelab-kelab EPL begitu menginginkan penyerang baharu sehingga sanggup membayar yuran perpindahan mahal?
Salah satu sebab kelab-kelab EPL memerlukan penyerang berkualiti adalah untuk membantu pasukan mencari gol. Ketika ini, penyerang-penyerang sedia ada di beberapa kelab dilihat kurang produktif.
Misalnya Arsenal yang berjuang sepanjang musim lalu tanpa penyerang tulen selepas Gabriel Jesus dilanda kecederaan. Situasi ini telah merencatkan usaha The Gunners untuk memburu kejuaraan EPL.
Berbeza pula dengan Liverpool, walaupun berjaya meraih kejuaraan EPL ke-20, namun kelab tersebut masih bermasalah di posisi No. 9. Penyerang sedia ada seperti Darwin Nunez dilihat kurang produktif di depan gawang.
Sekiranya berbicara mengenai harga yang tidak masuk akal ketika ini untuk pemain-pemain di posisi penyerang, rata-rata penganalisis di Eropah mempunyai pendapat sama.
Mereka merasakan situasi tersebut berlaku disebabkan kurangnya pemain berkualiti di posisi penyerang dalam dekad ini.
Situasi itu menyebabkan penyerang yang boleh dianggap suam-suam kuku seperti Nicolas Jackson di Chelsea dinilai dengan harga tidak masuk akal iaitu £70 juta (RM395 juta).
Secara keseluruhannya, penulis ingin melihat penyerang-penyerang yang baru dibeli oleh kelab-kelab EPL ini mampu menunjukkan kualiti sebenarnya mereka.
Kehadiran penyerang-penyerang hebat ini pastinya akan menambah keterujaan para peminat untuk menonton EPL pada musim baharu nanti.














