fbpx
Chong Wei menerima kurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri daripada Tun Ramli di Dewan Seri Pinang, George Town, hari ini.

Beri Jonassen masa, ruang – Chong Wei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei menegaskan bahawa Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen perlu diberikan tempoh yang mencukupi untuknya membina semula kekuatan pemain badminton perseorangan negara.

Chong Wei berkata, jurulatih baharu perseorangan lelaki negara itu memerlukan masa sekurang-kurangnya empat tahun atau satu penggal penuh dalam usaha menyusun semula program pembangunan yang mampan.

“Masa yang diperlukan bukanlah sebulan, bukan setahun, malah mungkin lebih daripada dua tahun. Sekurang-kurangnya satu penggal iaitu empat tahun.

“Kita perlu beri ruang untuk dia menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dan membina pasukan semula. Macam anak baru lahir, nak tunggu berjalan pun ambil masa setahun, apatah lagi nak lahirkan juara dunia,” katanya ketika ditemui di Dewan Sri Pinang di sini, hari ini.

Terdahulu, Chong Wei menerima kurniaan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) daripada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib yang membawa gelaran Datuk Seri.

Chong Wei, 43, menerimanya pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang hari ini.

Sebelum ini, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng menegaskan Malaysia berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan jika tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.

Amaran tegas itu disuarakan Tat Meng, 58, selepas beliau menyaksikan sendiri prestasi longlai skuad muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2025 di Solo, Indonesia yang menutup tirainya, semalam.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata, prestasi semasa pemain perseorangan negara memang menunjukkan ketidakstabilan, namun semua pihak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada jurulatih dari Denmark itu untuk melaksanakan pelan jangka panjangnya.

Beritahu Chong Wei lagi, beliau telah mengadakan perbincangan bersama Jonassen dan menyifatkan idea serta pendekatan yang dibawa jurulatih tersebut sebagai positif dan berpotensi membantu pembangunan pemain perseorangan negara.

“Saya telah berjumpa dan berbincang dengannya tentang bagaimana saya boleh membantu skuad perseorangan negara.

“Idea yang dibawanya sangat bagus, dan saya bersetuju dengannya. Tapi seperti biasa, kita perlu beri masa,” katanya.

Mengulas prestasi semasa, Chong Wei berkata, hanya Lee Zii Jia kini dilihat berpotensi selepas kembali daripada kecederaan, manakala Ng Tze Yong yang sedang mendapatkan rawatan di Doha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI